ILMU MUSTHOLAH AL-HADEETH
Ta’rif ilmu Mustholah Al-Hadeeth terbahagi kepada dua juzuk yang berbeza iaitu Al-Ilm dan Al-Hadeeth. Maka perlulah bagi setiap penuntut ilmu untuk mengetahui makna kedua-dua perkataan ini terlebih dahulu sebelum mengetahui kondisi disiplin ilmu ini dengan lebih terperinci. Oleh itu, Dr Nurruddin ‘Itr [1]telah menta’rifkan dua perkataan ini dengan makna berikut :-
Al-Ilm bermaksud permahaman. Ianya berlainan dengan ma’rifah. Perbezaan di antara kedua-dua perkataan ini, Al-ilm diertikan dengan pemahaman yang meliputi kesemua kondisi sesuatu ilmu berserta dalil-dalilnya, manakala ma’rifah pula merupakan pengtahuan yang tidak berbentuk menyeluruh tentang sesuatu perkara.
Al-hadeeth dari segi bahasa membawa pelbagai erti baru iaitu antonim kepada lama. Ia juga boleh diertikan dengan sesebuah perkhabaran atau percakapan. Menurut Dr Hammam said di dalam kitabnya “ Al-Hadeeth dari segi bahasa juga diertikan sebagai sesuatu perkhabaran yang baru, yang mana ianya tidak diketahui sebelumnya. Demikian itu adalah untuk membezakan di antara kalam Al-Qadeem iaitu Al-Qur’an dan kalam Al-Hadeeth iaitu semua kalam selain Al-Quran.[2] Firman Allah S.W.T :
“ Maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti Al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya. “ ( At-Thur : 34 )
Oleh yang demikian, gabungan dua ta’rifan ini membawa kepada satu makna baru bagi istilah disiplin ilmu ini, maka kebanyakan cendekiawan ilmu berkaitan hadeeth menta’rifkan Ilmu Mustholah Al-Hadeeth sebagai :
“ Suatu disiplin ilmu yang mempunyai usul dan kaedah untuk mengkaji keadaan sanad dan matan samada ianya diterima atau ditolak ”.
Skop kajian dalam disiplin ilmu ini adalah berkenaan dengan kajian terhadap keadaan sanad dan matan samada ianya boleh diterima ataupun ditolak.
AL-HADEETH
Ulama dan cendekiawan bercanggah pendapat dalam menta’rifkan al-hadeeth, as-sunnah, al-khabar dan al-athar kepada beberapa pendapat. Punca percahan ta’rif ini berpunca dari keperluan mereka kepada al-hadeeth tersebut dalam skop kajian disiplin ilmu-ilmu tertentu. Maka dari punca ini, ta’rifan yang diberikan oleh para fuqaha’ terhadap al-hadeeth berbeza dengan ta’rifan yang diberikan oleh ulama hadeeth dan ulama athar.
Maka Ahlul Hadeeth telah menta’rifkan Al-Hadeeth sebagai :
“ Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W samada ianya berbentuk perbuatan, percakapan, taqrir ( pengakuan ), sifat rupa bentuk dan sifat perilaku “. Terdapat juga ulama hadeeth yang menyertakan kisah perjalanan hidup baginda S.A.W sebagai hadeeth samada ianya berlaku sebelum baginda S.A.W dilantik sebagai nabi atau pun selepasnya.[3]
Manakala para fuqaha pula berpandangan bahawa al-hadeeth membawa kepada erti :
“ Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W samada ianya berbentuk perbuatan, percakapan, taqrir ”
Perbezaan ini dapat dilihat melalui penambahan sifat rupa bentuk dan sifat perilaku baginda S.A.W ke dalam ta’rif al-hadeeth di sisi ulama hadeeth dan tidak terkandung di dalam ta’rifan para fuqaha.
Maka sebab berlakunya perbezaan ta’rifan ini kembali kepada aspek yang diperlukan dalam skop kajian disiplin ilmu yang boleh boleh diambil dari hadeeth tersebut.
Menurut ulama hadeeth, mereka mengkaji semua aspek yang bersumberkan daripada Nabi Muhammad S.A.W kerana baginda S.A.W merupakan seorang imam yang membawa hidayah yang digambarkan oleh Allah S.W.T sebagai contoh teladan yang baik bagi ummatnya. Maka, ulama hadeeth beranggapan bahawa semua aspek yang berkaitan dengan baginda S.A.W seperti perjalanan hidup baginda, rupa bentuk kejadian, percakapan, perbuatan dan taqrir baginda S.A.W termasuk dalam katagori hadeeth samada semua aspek ini mengandungi hukum syara’ ataupun tidak.
Menurut para fuqaha pula, kretirea yang diperlukan dalam mengeluarkan sesuatu hukum sahaja yang perlu diklafikasikan sebagai al-hadeeth. Oleh yang demikian, skop kajian mereka hanya tertumpu kepada perkara yang disandarkan kepada Rasulullah S.A.W yang merupakan utusan pembawa syariat daripada Allah S.W.T.. Maka mereka berpendapat bahawa hanya percakapan,perbuatan dan taqrir baginda S.A.W sahajalah yang mengandungi hukum syara’. Adapun selain dari aspek ini, samada berbentuk sifat kejadian mahupun sifat perilaku, bukanlah termasuk dalam skop kajian kerana tidak boleh difahami daripadanya sebarang bentuk hukum syara’.
Maka yang demikian itu, kita menggunapakai istilah al-hadeeth sepertimana yang telah dita’rifkan oleh fuqaha kerana dengan ta’rifan tersebut,bukan sahaja hadeeth digunapakai untuk berhujjah, malah dengan ta’rifan ini juga menjadikan ianya sebagai sumber kedua selepas Al-Qur’an dalam menetapkan hukum bagi sesuatu masalah.
Contoh hadeeth yang berbentuk kata-kata Nabi Muhammad S.A.W seperti yang diriwayatkan dari Umar Al-Khattab :
( انما الاعمال بالنيات وانما لكل امرئ ما نوى..[4] )
“ Sesungguhnya setiap perbuatan itu disertai dengan niat, dan sesungguhnya ( perbuatan ) seseorang itu bergantung kepada apa yang diniatkannya.. “
Adapun hadeeth yang berkaitan perbuatan Baginda S.A.W seperti yang dikhabarkan oleh para sahabat berkenaan dengan perbuatan Nabi S.A.W yang berkaitan dengan ibadah dan sebagainya seperti cara menunaikan solat, manasik haji, adab-adab berpuasa dan cara baginda menjadi hakim kepada penyaksian atau pendakwaan.
([5]..قال لنا رسول الله صلى الله عليه وسلم صلوا كما رأيتموني اصلى )
Sabda Nabi Muhammad S.A.W kepada kami : “ Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat “
(خذوا عنى مناسككم..[6] )
Sabda Baginda lagi “ Ambillah ( contohilah ) kamu dariku cara-cara perlaksanaan ibadah haji “
Maka yang dikatakan contoh hadeeth yang berbentuk perbuatan adalah perbuatan baginda itu sendiri, bukanlah apa yang baginda katakan.
Taqrir bermaksud pengakuan seseorang terhadap sesuatu perkara. Dalam konteks hadeeth, taqrir bererti pengakuan yang lahir dari nabi terhadap sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh sahabat dan pengakuan ini dapat difahami melalui reaksi nabi S.A.W samada baginda berdiam diri, seolah-olah baginda S.A.W redha dengan tindakan sahabat tersebut ataupun menyokong tindakan para sahabat dalam sesuatu perkara. Ini kerana, baginda tidak akan berdiam diri dalam perkara mungkar ataupun menyalahi hukum syara’. Antara contoh taqrir yang mungkin boleh dikemukakan di sini adalah :
- Taqrir baginda S.A.W terhadap ijtihad para sahabat berkaitan arahan untuk menunaikan solat asar sewaktu peperangan Bani Quraizah. Nabi Muhammad S.A.W telah mengarahkan para sahabat dengan hadeeth baginda :
([7] ..لا يصلين احدكم العصر الا في بنى قريظة )
“ janganlah kamu bersolat asar kecuali di perkampungan Bani Quraizah “
Maka para sahabat yang mendengar arahan ini bercanggah pendapat antara satu sama lain sehingga menjadi dua kumpulan. Maka sebahagian sahabat berpendapat bahawa perintah nabi S.A.W itu bermaksud larangan supaya tidak menunaikan solat asar pada ketika itu kemudian mereka melewatkannya sehingga selepas waktu maghrib apabila sampai ke perkampungan Bani Quraizah. Manakala pendapat sebahagian dari sahabat yang lain, perintah berkenaan membawa kepada maksud galakan kepada para sahabat supaya bersegera ke perkampungan tersebut dalam keadaan sempat bersolat asar dalam waktunya.
Maka hal keadaan kedua-dua kelompok sahabat tersebut diadukan kepada baginda S.A.W, lalu baginda mengakui serta membenarkan perbuatan kedua-dua kumpulan sahabat tersebut tanpa mengingkarinya.
- Diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa Khalid Ibn Al-Walid r.a. yang sedang memakan dhab ( sejenis biawak padang pasir ) menghulurkan kepada Nabi Muhammad S.A.W tetapi baginda tidak menjamahnya. Maka berkata sebahagian sahabat “ Adakah ianya haram dimakan wahai Rasulullah? ”. Maka baginda S.A.W bersabda “ Tidak!, akan tetapi tidaklah ianya tidak terdapat di bumi kaumku, ……… berkata Khalid “ maka aku terus memakannya dalam keadaan rasulullah S.A.W melihat kepadaku [8]“
Maka melalui contoh yang dinyatakan di atas, dapat difahami bahawa reaksi nabi yang tidak menghalang atau mengingkari sesuatu perbuatan para sahabat merupakan suatu bentuk keharusan untuk melakukan perkara tersebut.
Di antara contoh hadeeth yang berkaitan sifat rupa bentuk baginda adalah seperti yang diriwayatkan dari Barra’ r.a. bahawasanya Rasulullah S.A.W memiliki wajah yang paling kacak serta bertubuh segak, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah.
Manakala hadeeth yang berkaitan dengan gambaran ahklak dan perilaku baginda S.A.W adalah seperti yang diriwayatkan dari Anas r.a. bahawasanya Rasulullah S.A.W merupakan manusia yang paling baik budi perkertinya. Diriwayatkan dari Anas r.a. juga bahawasanya dia telah berkhidmat dengan nabi S.A.W selama sembilan tahun dan tidak pernah sekali pun baginda S.A.W menyoal kepadaku “ mengapakah kamu melakukan begini? ” dan baginda S.A.W juga tidak pernah memperkecilkan aku walaupun sekali.
[1] Manjah An-Naqd FI Ulum Al-Hadeeth m/s 26
[2] At-Tamheed Fi Ulum Al-Hadeeth karya Dr Hammam Abdul Rahim Said m/s 11
[3] As-Sunnah Wa Makanuha Fi At-Tasyri’ Al-Islami oleh Dr. Mustafa As-Siba’ie m/s 57 yang dinukil dari kitab Qawa’id At-Tahdeeth dan kitab Taujih An-Nazhor
[4] Diriwayat oleh Al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab sahih mereka, juga diriwayatkan oleh Ashab As-sunan, Imam Ahmad, Ad-Daruqutni, Ibn Hibban, Al-Baihaqi dan selain mereka.
[6] Riwayat Al-Baihaqi
[7] Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan selain daripada meraka .
[8] Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim.




0 comments:
Post a Comment