Tahukah Anda?? - As-Sunnah

Sunday, May 3, 2009

AS-SUNNAH


Apabila kita telah memahami erti hadeeth dalam konteks kajian yang terperinci dan tepat, maka kita juga perlu memahami as-sunnah dalam konteks yang terperinci juga supaya ianya dapat menghilangkan kekeliruan dalam memahami kedua-dua istilah ini. Sebelum kita mengetahui makna istilah bagi as-sunnah, perlulah bagi kita untuk mengetahui maknanya dari sudut bahasa terlebih dahulu supaya dengan memahami maknanya dari sudut bahasa tersebut, kita boleh member ta’rifan yang tepat dan terperinci kepada makna istilah bagi perkataan ini.

Fathul Bari syarah Sahih Bukhari

Karya Ibn Hajar Al-Asqalani ini dikararang beliau selama 25 tahun merupakan karya Agung dalam bidang hadeeth .

Menurut bahasa, as-sunnah membawa kepada makna jalan atau susur, samada ianya menuju ke arah kebaikan ataupun kejahatan. Ia juga membawa maksud sesuatu perkara yang berulang-ulang atau perkara yang telah menjadi kabiasaan.

Dari segi bahasa, as-sunnah juga boleh disandarkan kepada Allah S.W.T seperti perkataan “sunnatullah“. Ianya membawa maksud hukum-hukum Allah S.W.T yeng meliputi perintah serta larangannya. Sunnatullah juga boleh diertikan sebagai perkara yang biasa berlaku kepada sesuatu perkara. Contohnya sunnatullah didalam menuntut ilmu adalah kesusahan dan di sebalik kesusahan itu ada kemanisan. Maka sunnatullah dalam penyataan ini adalah kesusahan, kerana sudah menjadi kebiasaan bagi orang yang menuntut ilmu akan mengalami pelbagai bentuk kesusahan. Terdapat sebanyak 17 kali perkataan as-sunnah disebutkan di dalam Al-Qur’an dan semuanya membawa kepada makna hukum-hukum Allah secara mutlak.

Dari makna bahasa ini, maka ianya boleh menterjemahkan dengan jelas makna sabda Nabi Muhammad S.A.W seperti yang terdapat dalam beberapa buah hadeeth baginda S.A.W.

( من سن سنة حسنة فعمل بها كان له اجرها ومثل اجر من عمل بها لا ينقص من اجورهم شئ ومن سن سنة سيئة فعمل بها كان عليه وزرها ومثل وزر من عمل بها لا ينقص من اوزارهم شئ[1] )

“ Barangsiapa yang melakukan sesuatu perkara kebaikan maka baginya pahala kebaikan tersebut, dan baginya juga pahala sepertimana pahala orang yang mencontohi perlakuan baiknya itu, tidaklah dikurangkan dari pahala mereka walaupun sedikit. Dan barangsiapa yang melakukan perkara keburukan, maka baginya dosa atas perbuatan buruk tersebut, dan baginya juga dosa sepertimana dosa orang yang mencontohi perbuatan buruknya itu, dan tidaklah dikurangkan daripada mereka itu dosa meraka walaupun sedikit “.

Dan sabda baginda S.A.W lagi :

( لتتبعن سنن من كان قبلكم شبرا بشبر وذراعا بذراع حتى لو دخلوا في جحر ضب لاتبعتموهم. قال : قلنا : يا رسول الله اليهود والنصارى ؟ قال : فمن[2] )

“ ( akan datang suatu masa ) kamu akan menuruti jalan-jalan kaum sebelummu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi hasta sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang dhab sekalipun, nescaya kamu akan menuruti mereka “. Para sahabat yang mendengar seraya bertanya : “ Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani wahai Rasulullah? “. Rasulullah S.A.W pun menjawab

“ maka siapakah lagi ( kalau bukan mereka ) ? “.

Maka, di dalam kedua-dua hadeeth yang disebutkan di atas, dapatlah difahami bawaha makna as-sunnah menurut bahasa tidaklah seerti dengan maksudnya menurut ta’rifan kebanyakan ulama. Demikian adalah kerana para ulama telah menta’rifkan as-sunnah sebagai :

“ Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W samada ianya berbentuk perbuatan, percakapan, taqrir ( pengakuan ) yang berbentuk amali “

Maka secara kesimpulannya as-sunnah merupakan hadeeth yang boleh dipraktikkan dalam bentuk amali dan perbuatan.

Adapun khabar dan athar, maka kedua-dua istilah ini adalah berlainan makna dengan hadeeth, malah ianya juga berbeza mafhumnya di antara satu sama lain. Ulama bercanggahan di antara satu sama lain dalam menetapkan satu ta’rifan khas bagi kedua-dua istilah ini.

Dari segi bahasa, khabar atau jama’nya akhbar membawa erti berita atau perkhabaran. Manakala dari segi istilah pula, ianya membawa kepada pelbagai makna mengikut bebepara pendapat[3].

- Pendapat pertama : Khabar membawa makna sinonim kepada Al-Hadeeth. Dalam erti kata lainnya, khabar dan hadeeth bererti sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W samada ianya berbentuk perbuatan, percakapan, taqrir( pengakuan ), sifat rupa bentuk dan sifat perilaku.

- Pendapat kedua : Khabar bererti perkara yang disandarkan kepada individu selain daripada Nabi Muhammad S.A.W. Contohnya sesuatu perkara yang disandarkan kepada sahabat, tabie’een atau selain mereka disebut sebagai Khabar.

- Pendapat ketiga : Khabar bererti perkara yang disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. dan kepada selain daripada baginda S.A.W. Maka ta’rifan ini lebih umum berbanding dua ta’rifan yang disebut di atas.

Al-Athar dari segi bahasa membawa maksud lebihan sesuatu, kesan atau peninggalan. Dari segi istilah pula, ulama bercanggah dalam menetapkan takrifannya kepada 2 pendapat :

- Pendapat pertama : Athar membawa makna sinonim kepada Al-Hadeeth. Dalam erti kata lainnya, athar dan hadeeth bererti sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W samada ianya berbentuk perbuatan, percakapan, taqrir( pengakuan ), sifat rupa bentuk dan sifat perilaku.

- Pendapat kedua : Athar bererti segala perbuatan dan percakapan yang disandarkan kepada para sahabat dan tabie’een.

Sebagai kesimpulan dari percanggahan pendapat ini, satu rumusan telah dibuat oleh Yahya bin Ali Al-Hajuri dalam karyanya, syarahan kepada Manzhumah Baiquniyyah menyatakan bahawa perincian setiap dari ketiga-tiga istilah ini adalah seperti berikut[4].

- Hadeeth : Dikhaskan kepada segala perbuatan, percakapan, taqrir( pengakuan ) dan sifat Muhammad S.A.W sahaja.

- Athar : Dikhaskan kepada individu selain daripada Muhammad S.A.W samada di kalangan sahabat, tabie’een ataupun individu selepas dari zaman mereka. Kadangkala athar juga disandarkan kepada Nabi S.A.W tetapi dengan beberapa perincian khas. Contohnya “ dan dalam athar daripada Rasulullah S.A.W … “. Adapun secara umumnya, athar hanya dinisbahkan kepada sahabat dan individu selepas daripada mereka.

- Khabar : Lebih umum dari hadeeth dan juga athar. Dalam erti kata lainnya, khabar merangkumi hadeeth dan athar.

Bagi memudahkan pemahaman terhadap kesimpulan daripada penta’rifan ketiga-tiga istilah ini, berikut merupakan gambar rajah agar pembaca lebih jelas mengenai perbezaan istilah-istilah ini.


Gambar Rajah 1

Perbezaan di antara Hadeeth, Khabar dan Athar



[1] Diriwayatkan dari Jarir bin Abdullah Al-Bajali

[2] Diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudry

[3] Tayseer Mustholah Al-Hadeeth karya Dr. Mahmood Tohhan m/s 16

[4] Syarah Manzhumah Baiquniyyah oleh Al-Muhaddeth Yahya bin Ali Al-Hajuri rahimahullah m/s 3

0 comments:

Design of Open Media | To Blogger by Blog and Web